Sunday, November 30, 2008

congrats BELLA!!!!


my senior BELLA.... adalah juara pertandingan IFF- islamic fashion festival....

tak sia- sia tolong dia....

huhu... best gila.... tolong dia kat backstage... and dua hari tidur kat rumah dia.... thanx kerana layanan baik family bella...

bacalah artikel ni.....


Interpretasi kreatif pereka muda


Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN


KEPELBAGAIAN warna, bentuk dan konsep memeriahkan kemuncak pertandingan akhir Anugerah Pereka Muda Festival Fesyen Islam (IFF) 2008 yang menyaksikan interpretasi kreatif busana Muslim oleh para pereka muda tempatan.

Setiap rekaan yang dipersembahkan oleh lapan finalis menampilkan garapan unik konsep busana menutup aurat menerusi mainan fabrik, teknik jahitan dan perincian mengikut daya kreativiti setiap pereka.

Berusia antara 18 hingga 29 tahun tanpa batasan agama dan jantina, kumpulan pereka berbakat besar ini telah membuktikan kesediaan generasi muda dalam meningkatkan taraf seni reka fesyen Islam ke persada antarabangsa.

Pelbagai tema dijadikan platform untuk mengetengahkan rekaan moden, bergaya dengan nilai komersial sambil menyelitkan unsur-unsur warisan Islam dan tradisi masyarakat Asia, keindahan alam semula jadi, motif flora dan futuristik.

Keanggunan rekaan busana Nabella Erwani Zainal Abidin, 24, berjaya memukau perhatian juri profesional dengan persembahan bertema ‘Zulaikha Si Penggoda dari Gurun Sahara’ sekali gus merangkul juara Anugerah Pereka Muda IFF tahun ini.

Pereka fesyen bebas dari Taman Andalas, Klang itu, menonjolkan rekaan avant garde mempersona dengan perincian halus pada lapisan demi lapisan sifon perang dan motif baroque (barok) emas menghiasi leretan jubah.

Nabella Erwani berkata, penggunaan pelbagai rona perang digunakan sebagai lambang ketandusan gurun Sahara juga simbolik jiwa Siti Zulaikha yang dahagakan cinta daripada anak angkatnya, Nabi Yusuf.

“Sifon lembut merupakan fabrik pelengkap menggambarkan kelembutan seorang wanita penggoda yang sanggup melakukan apa sahaja demi cinta untuk terus hidup, umpama teratai yang bergantung kepada air untuk kekal mekar.

“Di samping itu, gabungan warna tembaga, emas, perang dan labuci serta manik emas pula umpama keindahan gurun Sahara,’’ katanya yang memegang Diploma dan Ijazah Seni Reka Fesyen.

Nabella Erwani membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 tajaan Jakel, jemputan khas ke IFF Dubai 2009, trofi tajaan bersama Dhea Finecast Enterprise (Dhea Finecast) dan Nusantara Gems, mesin jahit tajaan Singer, langganan setahun Majalah Wanita, bingkai tulisan khat bernilai RM4,000 daripada Niche Systems Sdn. Bhd. dan sijil penghargaan.

Pemenang tempat kedua, Wan Mohd. Ridzuan Wan Ismail, 24, juga tidak kurang hebatnya bersama koleksi busana bertema ‘Ombak’ dengan silhouette agak unik terutama rekaan avant garde diilhamkan daripada pergerakan dan deruan ombak.

Penuntut Kolej Centre For Advanced Design (Cenfad) berasal dari Taman Keramat, Kuala Lumpur ini, mengetengahkan ciri-ciri klasik moden dan dwi-fungsi namun mengekalkan identiti busana Muslimah menerusi potongan seluar dan jaket labuh.

“Saya mahukan silhouette ringkas, moden dengan pola minimum tetapi mempunyai olahan kedutan dan alunan kain pada bahagian tertentu untuk memberi kelainan serta pilihan kepada pemakai untuk mencuba gaya berlainan dengan sepasang busana.


“Fabrik yang digunakan seperti sifon, satin, sutera Shantung, organza dan tulle dalam rona biru, firus, kelabu dan hitam melambangkan warna lautan yang eksotik,’’ katanya yang mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menyiapkan rekaannya itu.

Rekaan pakaian siang beliau merupakan blaus polos dipadankan dengan celana potongan harem bertali cerut di kaki bersama jaket besar tanpa lengan. Ia boleh digayakan sebagai gaun pendek dan jaket panjang serta kelihatan indah dengan serakan jemeki, kristal dihiasi sulaman umpama buih ombak.

Pakaian malamnya tampil lebih dramatik dengan jameki dan sulaman pada leretan baju serta serba konstruktif dengan batu berkilau potongan duyung.

Sebagai naib juara, Wan Mohd. Ridzuan menerima wang tunai RM7,000 daripada Jakel, jemputan khas ke IFF Jakarta 2009, trofi, mesin jahit, langganan Majalah Wanita, bingkai tulisan khat bernilai RM3,500 tajaan Niche Systems dan sijil penghargaan.

Sementara itu, pereka muda Carven Academy of Fashion, Rivon Teh Shuk Phei, 23, menjadi inspirasi kepada ramai pereka bukan Islam apabila berjaya menonjolkan bakatnya dalam menghasilkan busana Muslimah.

Anak kelahiran Kapar, Klang ini menggunakan motif warisan tradisi Asia Tenggara seperti corak batik dan wayang kulit dalam rekaannya serta menggabungkan ciri moden serta futuristik.

“Reka bentuk avant garde agak dramatik dengan kolar tinggi, tutu kembang menggunakan tulle yang tidak sekata dan teknik tampal hias menggunakan perca batik serta dilukis tangan.

“Silhouette’ pakaian siang pula lebih ringkas tetapi fokus pada perincian dan penggunaan fabrik berbeza,’’ katanya.

Pada peringkat akhir pertandingan itu, lapan finalis diminta mempamerkan tiga kategori rekaan iaitu pakaian siang, gaun petang dan avant garde.

Mereka dinilai daripada aspek seni iaitu 30 peratus , aspek teknikal termasuk potongan, sulaman dan jahitan (40 peratus) dan persembahan iaitu kesesuaian muzik, aksesori dan warna (30 peratus). Kriteria penting yang diutamakan dalam pertandingan itu adalah penutupan aurat.

Barisan juri yang mengadili pertandingan Anugerah Pereka Muda terdiri daripada personaliti terkenal seperti Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Bernard Chandran, Itang Yunasz dari Indonesia dan Noorkumalasari.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis itu dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Pengarah Urusan Nusantara Gem Sdn. Bhd., Datuk Rezza Shah; Ketua Pengarang Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), Zin Mahmud; Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamad Jakel.

Beberapa pereka undangan turut memperagakan koleksi pakaian masing-masing antaranya Jasmi Rejab dengan Oasis, Dezairil dengan Islamic Purity (Kesucian Islam) dan Defrico Audy dari Filipina serta Hengky Kawilarang dari Indonesia.

No comments: