Sunday, May 25, 2008

artikel UTUSAN MALAYSIA....

NABELLA Erwani Zainal Abidin (tengah), Nik Erwan Nik Roseli (kiri) dan Khairun Nisa Abdul Rahim (kanan) bersama para model memperagakan rekaan mereka.
oleh: MERAN ABU BAKAR
BANYAK cara untuk menzahirkan pendapat atau pandangan tentang sesuatu isu bukan sekadar melalui kata-kata atau hujung mata pena yang kadang kala boleh diibarat lebih tajam daripada mata pedang.
Bagi insan-insan yang dianugerahkan dengan kreativiti dan imaginasi di luar jangkauan minda biasa, menterjemahkan pandangan mahupun protes mereka melalui ekspresi seni masing-masing.
Justeru sebagai reaksi terhadap isu pemanasan global, seramai 28 pelajar tahun akhir Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, telah menyalurkan ‘protes’ mereka melalui rekaan-rekaan fesyen yang dipertontonkan kepada orang ramai dalam peragaan di Pusat Konvensyen dan Resort Intekma, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Peragaan yang dinamakan Pertunjukan Fesyen Degri ini merupakan hasil kerja para pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang rekaan fesyen yang menghasilkan rekaan mengikut tema utama yang diberi, iaitu ‘Pemanasan Global.’
Setiap pelajar dikehendaki menghasilkan lima rekaan sama ada berkonsep kasual, gaun petang mahupun adi busana di mana pemarkahan akan dimasukan sebagai sebahagian daripada peperiksaan akhir mereka.
Tema utama ‘Pemanasan Global’ dipilih memandangkan dunia hari ini berhadapan dengan isu perubahan iklim yang begitu ketara dan menjejaskan kehidupan manusia. Sudah tiba masanya manusia bertindak balas secara positif bagi menyelamatkan alam sekitar demi masa depan generasi akan datang.
Menurut Ketua Program Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Anas Musavir, tema tersebut dipilih oleh jabatan memandangkan bencana alam yang semakin ‘mengganas’ dan memusnahkan alam.
Melalui fesyen, para pelajar tersebut harus menghasilkan rekaan yang dapat mendidik manusia untuk menyayangi alam dan menjaganya dengan baik.
‘‘Pertunjukan ini banyak melibatkan aspek disiplin dan merupakan cabaran hebat kepada pelajar dalam menyempurnakan pengajian mereka.
“Setiap pelajar harus mengetahui mengenai stail, fabrik, gaya dan tekstur fabrik yang digunakan.
‘‘Daripada pertunjukan fesyen yang telah disaksikan, pencapaian mereka dilihat begitu memberangsangkan,’’ katanya yang ditemui selepas selesai pertunjukan fesyen.
Terpulang katanya, kepada setiap pelajar sama ada mereka mampu menyahut cabaran yang lebih hebat setelah mereka berada di luar dunia pelajar kelak.
Begitu pun beliau berbangga kerana UiTM berjaya melahirkan ramai pereka fesyen terkenal pada masa kini.
Mengenai fesyen-fesyen rekaan pelajar yang dipersembahkan pada pertunjukan tersebut, Anas berkata, pihaknya akan menyimpan koleksi-koleksi yang terbaik bagi memenuhi jemputan mana-mana pihak yang mahukan mereka mengadakan pertunjukan fesyen.
Pada pertunjukan fesyen yang diadili oleh Norazmi Mokhtar, Noraini Shariff, Jimmy Wong dan Jovian Mandagie ini, tiga pelajar telah dipilih mengungguli tiga kategori yang diperkenalkan iaitu Koordinasi Terbaik, Koleksi Terbaik dan Pertunjukan Terbaik.
Koordinasi Terbaik telah dimenangi oleh Khairun Nisa Abdul Rahim dengan temanya The Daring Flame, manakala Nik Erwan Nik Roseli yang tampil dengan tema Earthly Debacle meraih kategori Koleksi Terbaik dan Nabella Erwani Zainal Abidin memenangi kategori Pertunjukan Terbaik dengan memilih tema Melting of Glaciers.
Pertunjukan Fesyen Degri ini telah dirasmikan oleh isteri Naib Canselor UiTM, Datin Seri Zahariah Mohamed.

No comments: